Semasa

KKM laksana kajian semula dasar dan proses perolehan produk farmaseutikal

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan tidak berlaku peningkatan kepada kos perolehan ubat-ubatan.

Melalui satu kenyataan kementerian itu berkata, pihaknya memandang serius amalan sesetengah syarikat pengeluar dan pembekal farmaseutikal yang menawarkan harga produk lebih tinggi kepada kerajaan.

Justeru tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga, anti-persaingan atau apa-apa amalan yang menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan.

“Ia berbanding harga kepada pihak swasta bagi sesetengah produk ubat terutamanya pemegang pendaftaran tunggal sama ada paten ataupun generik yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“KKM telah mengorak langkah meneliti dan mengkaji semula dasar dan proses perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan yang menekankan kepada sistem tatakelola dengan mengambil kira prinsip ketelusan, memudahcara perniagaan, persaingan secara adil dan nilai pulangan terbaik dalam perolehan kerajaan,” katanya kenyataan itu.

KKM turut menegaskan, penambahbaikan secara berfasa juga sedang dilaksanakan ke atas dasar dan proses perolehan KKM.

BACA LAGI: KKM peruntukkan RM137 juta setahun, selenggara 201 klinik kesihatan

“Fasa pertama ialah pengurangan karenah birokrasi permohonan kelulusan daripada agensi-agensi KKM.

“Fasa kedua pula melibatkan penambahbaikan proses perolehan termasuk hak kerajaan untuk berunding semula harga dan pembekalan produk alternatif yang lebih murah berbanding produk kontrak dalam keadaan tertentu dengan syarikat memenangi tender,” jelasnya.

Kementerian itu turut menjelaskan, pihaknya melaksana sistem penggiliran pegawai termasuk pegawai teknikal yang terlibat dalam proses perolehan serta kehadiran pegawai Unit Integriti sebagai pemerhati dalam Lembaga Perolehan.

Related Articles

Back to top button