Malaysia-Palestin bakal tandatangan MOU kerjasama perdagangan dan ekonomi
Malaysia bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata,perkara itu sudah dipersetujui jemaah menteri selari komitmen kerajaan menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh.
“MoU ini akan saya tandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawat saya dari Palestin,” katanya melalui satu hantaran di laman media sosialnya menyusul kunjungan Duta Besar Palestin di Malaysia Walid Abu Ali di Menara MITI pada Isnin.
Sementara itu jelasnya, perjanjian itu dijangka meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara .
Justeru Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin akan ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
BACA LAGI: Ikut langkah Brazil, iktiraf Palestin melalui perjanjian perdagangan – MAHAR
“Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya
Tengku Zafrul turut memberitahu, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada tahun lalu telah meningkat sebanyak 52.1 peratus atau RM20.8 juta berbanding tahun sebelumnya.