Cadangan kaji semula undang-undang lapuk dibentangkan ke Kabinet minggu depan
Perubahan masa dan teknologi memerlukan undang-undang lapuk ditinggalkan penjajah dikaji semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Justeru jelasnya, kementerian itu akan membawakan cadangan bagi mengkaji semula lebih 3,000 undang-undang lapuk ke masyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
“Undang-undang ini dibuat sebelum merdeka lagi oleh kerajaan British atas objektif niat mereka sebagai koloni…kita kena kaji. Sampai bila kita nak hidup dengan undang-undang ini.,
“Bukan semua tak elok, tapi kita kaji, kita nilai,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu program kempen di Gua Musang.
Azalina sebelum ini mencontohkan undang-undang membabitkan digital yang memerlukan pembaharuan kerana peruntukan yang sedia ada sekarang tidak memadai.
BACA LAGI: Johari panggil KSU, bincang penambahbaikan kepada akta ketinggalan zaman
Bagaimanapun sebarang kajian undang-undang lapuk itu jelasnya perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman dan universiti yang mempunya fakulti undang-undang dan kepakaran untuk menilai.
Media baru-baru ini melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah memanggil Ketua Setiausaha dan penasihat undang-undang setiap kementerian untuk melihat semula akta sedia ada yang mungkin tidak sesuai pada masa ini.