Global

Malaysia sedia bantu Bangladesh pulih keamanan, kestabilan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di negara itu.

Menurut Anwar, perkara itu telah dinyatakan menerusi panggilan telefon dengan Prof Muhammad Yunus pada Selasa malam bagi mengucapkan tahniah dan bertanya khabar kepada ahli ekonomi itu susulan pelantikan sebagai perdana menteri sementara Bangladesh.

“Muhammad Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia.

“Saya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti,” kata Anwar menerusi perkongsian akaun di media sosial beliau.

Muhammad Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sementara pada 8 Ogos lalu bagi mengetuai kerajaan peralihan negara itu.

Ia selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina melarikan diri dari negara itu setelah berminggu-minggu berlaku protes berdarah yang mengorbankan lebih 300 nyawa susulan protes pelajar universiti terhadap dasar kuota pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

BACA LAGI: Malaysia komited pimpin ASEAN ke arah kestabilan, kemakmuran

Muhammad Yunus yang terkenal di seluruh dunia sebagai pengasas ‘bank orang miskin’ sebelum majlis angkat sumpah menyatakan tekad untuk ‘menegakkan, menyokong dan melindungi Perlembagaan’, di hadapan pemimpin politik, masyarakat sivil, jeneral serta diplomat di istana presiden.

Sementara itu menurut Anwar, Muhammad Yunus turut menjemput beliau melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara.

Related Articles

Back to top button