Negeri

Menteri Besar beri jaminan kerang-kerangan dari PD selamat dimakan

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menasihati masyarakat agar tidak lagi khuatir untuk memberi dan memakan kupang dari perairan Port Dickson.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media Pasca Mesyuarat Mingguan Exco Bulan Ogos Tahun 2024 di Seremban pada Rabu beliau menjelaskan, kajian telah dilakukan bagi tempoh yang panjang antara enam ke lapan bulan dan penurunan tahap biotoksin sudah ke paras selamat.

“Larangan penuaian dan penjualan telah ditarik balik menunjukkan kupang itu boleh dimakan. Kita harap sungai dan laut dijaga supaya tidak tercemar.

“Ini antara faktor yang beri kesan tempoh hari,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggalakkan penternak dan nelayan untuk meneruskan aktiviti penjualan kupang untuk meningkatkan pendapatan mereka.

BACA LAGI: Negeri Sembilan fokus perkasa sektor pertanian, beri LPS untuk golongan petani

Aminuddin pada April lalu menggesa orang ramai mengelak daripada memakan kupang atau kerang terutama dari perairan Port Dickson untuk sementara waktu.

Ia susulan sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup pada Sabtu lalu dilaporkan berkata Jabatan Perikanan Malaysia menarik balik larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson dan Melaka berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Related Articles

Back to top button