Parlimen

RUU Keselamatan Dalam Talian bakal dibentangkan pada sidang depan

Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Keselamatan Dalam Talian dijangka dapat dibentang pada sidang Parlimen akan datang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata RUU itu kini sedang diperhalusi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk melesenkan platform media sosial sebagai usaha mengatasi masalah yang berlaku melibatkan platform dalam talian.

“Perkara ini dibincangkan dari semasa ke semasa, kita ada jawatankuasa khas melibatkan beberapa kementerian… kita jangkakan masa yang tidak terlalu lama, setidak-tidaknya satu Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dapat dibawa ke Parlimen.

“Kita harap dapat dibawa ke Parlimen dalam sidang yang akan datang tetapi seperti yang disebut sebelum ini, ada beberapa perkara yang perlu kita pinda dalam undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekosistem Pembekalan Huawei Malaysia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Khamis.

BACA LAGI: Cadangan kaji semula undang-undang lapuk dibentangkan ke Kabinet minggu depan

Mengulas lanjut Fahmi menjelaskan rang undang-undang itu perlu diperhalusi supaya takrifan kesalahan yang diperuntuk dalam peraturan baharu adalah jelas dan lebih khusus.

“Sebagai contoh, buli siber tidak ada takrifan khusus dalam Kanun Keseksaan, jadi perkara itu perlu diperhalusi,” katanya.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 14 Oktober hingga 12 Disember ini

Related Articles

Back to top button