Semasa

NRES kaji usaha pulihara hutan terputus koridor hidupan liar

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memulihara kawasan hutan yang terputus daripada koridor hidupan liar.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata habitat yang terjejas merupakan isu utama dalam konflik manusia-hidupan liar dan usaha memelihara serta menambah kawasan perlindungan ialah penyelesaian yang ideal.

Justeru jelasnya, kajian tersebut penting bagi bagi mengelakkan hidupan liar itu memasuki kawasan diduduki manusia.

“Kita ada central forest spine di Banjaran Titiwangsa sampai ke selatan tapi ada beberapa kawasan dah terputus koridor hidupan liar … bila tidak ada hutan atau kawasan perlindungan yang bersambung (koridor hidupan liar), hidupan liar akan masuk ke kawasan kampung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Johor pada Jumaat.

BACA LAGI: Kerajaan Kelantan tak dengar desakan NGO agar hutan Nenggiri dilindungi – KUASA

Selain itu, Nik Nazmi berkata beliau akan mengusulkan kepada Kementerian Kewangan dalam pertemuan yang dijadualkan bulan depan untuk meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam Belanjawan 2025 bagi meningkatkan keupayaan agensi berkenaan menangani konflik hidupan liar.

“Perhilitan perlu diberi tumpuan lebih juga sebab konflik hidupan liar semakin bertambah jadi kalau nak harapkan peruntukan sama atau bilangan anggota sama, ia tidak mencukupi,” katanya.

Related Articles

Back to top button