Perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara ditambah baik
Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan langkah penambahbaikan perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara sebagai langkah transformasi perkhidmatan berkenaan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pengendali perkhidmatan baharu yang dilantik wajib menyediakan bas berwarna merah jambu dan sistem pembayaran tanpa tunai di seluruh negara.
Loke berkata, transformasi akan dilakukan di seluruh Semenanjung kecuali Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang kerana memiliki perkhidmatan Bas Rapid.
“Semua tempat (seluruh negara) akan memiliki bas berwajah baharu ini. Pereka grafik yang membuat rekaan wajah baharu itu mencadangkan warna merah jambu sebab nampak lebih ceria.
“Dulu warna bas yang gelap agak membosankan, jadi kita tukar kepada warna ceria dan terang supaya dari jauh sudah nampak bas itu, kita naik pun rasa gembira,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), di Terminal Bas Kuala Klawang, Jelebu pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban sementara itu berkata, Negeri Sembilan menjadi yang pertama melancarkan operasi dengan 46 bas terdiri daripada 44 bas mini dan dua van, melibatkan peruntukan RM79 juta disalurkan kerajaan Persekutuan bagi Pakej B.
“Majlis Bandaraya Seremban dan kerajaan negeri juga sedang menaik taraf Terminal One yang menjadi satu pusat hab untuk bas, jadi diharapkan menjelang tahun hadapan projek disiapkan dan beri wajah baharu untuk orang ramai menunggu bas dengan selesa,” katanya.
BACA LAGI: Kementerian Ekonomi, MOT kerjasama ubah landskap pengangkutan awam
Melalui langkah transformasi itu frekuensi laluan bas ditetapkan antara 30 minit hingga sejam secara konsisten yang dipantau menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) secara langsung dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Manakala inisiatif menyediakan tambang percuma ‘myBAS Konsesi’ bagi warga emas, Orang Kurang Upaya dan pelajar sekolah juga diteruskan apabila menggunakan perkhidmatan itu dengan membuat pendaftaran.