Semasa

Pertumbuhan ekonomi Malaysia kini dalam kelas tersendiri – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh menunjukkan Malaysia berada dalam kelas tersendiri berbanding negara serantau.

Merujuk pencapaian KDNK sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 yang melebih anggaran awal 5.8 peratus beliau berkata, prestasi negara mencerminkan pencapaian yang bermakna berbanding Indonesia yang berkembang sebanyak 5.1 peratus, China sebanyak 4.7 peratus, dan Singapura sebanyak 2.9 peratus.

Disebalik suasana ekonomi global yang dijangka berkembang hanya 3.2 peratus, pertumbuhan Malaysia tegasnya telah melebihi jangkaan serantau dan global.

“Ini mencerminkan kekuatan ekonomi kita dan keberkesanan pembaharuan yang telah dilaksanakan.

“Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah berkesan untuk mengawal inflasi dan meningkatkan gaji melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan peningkatan gaji penjawat awam.

“Tumpuan juga diberikan kepada sektor-sektor pertumbuhan strategik seperti semikonduktor dan peralihan tenaga, dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), KL20, Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin memaklumkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.9 peratus bagi tempoh suku tahun kedua 2024.

Pengembangan ekonomi itu jelasnya disokong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar lebih besar.

Sementara itu menurut Rafizi, kerajaan mengekalkan optimisme yang sederhana dan terus bersedia. Walaupun Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang, kerajaan menyedari risiko luaran, seperti kenaikan kadar faedah di Jepun dan ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat dan China.

BACA LAGI: Malaysia-Palestin bakal tandatangan MOU kerjasama perdagangan dan ekonomi

“Faktor-faktor ini mampu memberi kesan kepada ekonomi global dalam bulan-bulan akan mendatang, tetapi dengan asas yang sedang dibina, Malaysia lebih bersedia untuk mengharungi cabaran ini dan terus maju ke hadapan.

“Matlamat negara kekal jelas iaitu mengekalkan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan memastikan negara kekal di landasan yang stabil dan makmur,” katanya.

Related Articles

Back to top button