Semasa

Tolong jangan naik harga barang !

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan syarikat dan pemilik perniagaan supaya tidak mengambil kesempatan meningkatkan harga barang terutama makanan susulan pelarasan gaji penjawat awam.

“Saya harap pada bulan Disember jangan ada syarikat dan kedai ambil kesempatan kerana kita naik secara berfasa (pelarasan gaji), tidak harus beri tekanan kepada kos harga barang keperluan terutamanya makanan.

“Badan-badan penguatkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan bertindak tegas menerusi pegawai penguatkuasanya,” katanya.

Peringatan itu dibuat melalui ucapan pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-19 di Putrajaya pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan orang ramai sekiranya terdapat penjual yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terutama makanan ekoran kenaikan gaji tersebut.

Orang ramai menggesa pihak ber­wajib supaya memantau perkara itu bagi mengelakkan ada pihak menangguk di air keruh susulan pengumuman berita gembira tersebut.

BACA LAGI: Harga barang keperluan masih rendah berbanding kerajaan terdahulu

Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengingatkan peniaga supaya tidak sabotaj usaha kerajaan mengurangkan beban sara hidup rakyat dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan melaksana penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti pencatutan dikalangan peniaga, namun memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk orang awam bagi mengekang perkara itu berlaku.

Related Articles

Back to top button