Semasa

MITRA akan laksana program baharu pembangunan masyarakat India

Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bakal melaksana lima program pembangunan dan kesejahteraan masyarakat India.

Agensi dibawah Pejabat Perdana Menteri itu melalui satu kenyataan pada Sabtu berkata, program bagi fasa pertama itu bakal dilaksana dengan peruntukan RM60 juta dan akan memberi fokus kepada tiga skop utama iaitu keusahawanan dan kerjaya, modal insan serta kesejahteraan sosial.

“Di bawah skop keusahawanan dan kerjaya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Bantuan Lesen Lori Good Driving License (GDL) MITRA, dengan kerjasama institut memandu yang dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada September ini.

“Bagi program inisiatif Modal Insan, sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi dua program, iaitu Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta, dengan sasaran 4,545 kanak-kanak dan Program Bantuan Awal Kemasukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 4.0 dengan 12,400 pelajar,” kata kenyataan tersebut.

Manakala tambah kenyataan itu, Mitra turut menyediakan peruntukan RM10 juta, bagi memastikan kanak-kanak India berusia di antara empat hingga enam tahun mendapat pendidikan awal.

Setakat ini sebanyak 186 pengusaha tadika sudah mengemukakan permohonan untuk program itu dan bantuan dijangka disalurkan pada September ini kepada tadika yang layak.

“Bagi Program Bantuan Awal Kemasukan IPT 4.0 sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada pelajar tahun pertama dan kedua peringkat Sarjana Muda dan Diploma di IPT awam serta swasta bagi kumpulan B40 saja, selain bantuan secara “one-off” kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) tahun pertama dan kedua, masing-masing RM2,000 dan RM3,000,” tambahnya.

Di bawah program inisiatif berbentuk kesejahteraan sosial pula, sebanyak RM23.5 juta diperuntukkan bagi dua program iaitu Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA dengan peruntukan RM8 juta bagi 800 pesakit buah pinggang golongan B40 dan M40 peringkat akhir atau selama 12 bulan.

“Bagi Program Bantuan Sinar Cahaya MITRA, ia adalah program bantuan baharu berbentuk solusi pantas, dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi meringankan beban masyarakat India dari golongan B40 dan M40 yang terjejas disebabkan kejutan kesihatan yang merosot atau ekonomi.

BACA LAGI: KUSKOP harap lebih banyak peruntukkan menerusi Belanjawan 2025

“MITRA akan membuka permohonan itu pada November ini untuk tempoh 10 bulan dan antara jenis bantuan yang boleh dimohon adalah bantuan bencana, rumah atau bilik penginapan sementara, kesihatan, pengurusan jenazah serta ibu bersalin,” tambahnya.

Pada masa yang sama, MITRA juga sedang melaksanakan proses kerja untuk pelaksanaan program fasa kedua bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat India melalui program literasi kewangan dan pembangunan.

Related Articles

Back to top button