Negeri

Selangor buat persiapan awal hadapi musim tengkujuh

Selepas mengalami kemarau yang menyebabkan paras air di empangan menurun, Malaysia kini perlu bersiap sedia untuk menerima kunjungan La Nina.

Justeru, Kerajaan Negeri Selangor membuat persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan terutama pada musim tengkujuh yang dijangka November ini.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lokasi titik panas dan berisiko banjir di seluruh Selangor dan meletakkan semua jentera dalam keadaan berjaga-jaga.

“Kawasan titik panas yang dipantau adalah Hulu Langat yang sentiasa menjadi sasaran untuk menghadapi banjir. Selain itu di Sungai Buloh turut berada di bawah pengawasan rapi.

“Unit Pengurusan Bencana Selangor telah turun ke setiap daerah untuk mengenal pasti setiap isu dan masalah dalam membuat persiapan,” katanya dipetik laporan.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah meramalkan fenomena La Nina yang biasanya membawa keadaan cuaca lebih lembap, akan bermula antara Julai dan September.

Fenomena itu lazimnya mencapai kemuncak menjelang akhir tahun dan berterusan pada awal tahun depan.

BACA LAGI: Selangor tidak hanya bantu, namun selesai isu utama dihadapi rakyat

Sementara itu Mohd Najwan turut memaklumkan, kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu juga mengadakan simulasi terutamanya kawasan yang dikenal pasti berisiko menghadapi banjir kilat.

“PBT yang terlibat membuat latihan simulasi bersama agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

“Manakala setiap EXCO, Ahli Dewan Negeri (ADN) dan penyelaras turut diberikan peranan masing-masing untuk memantau sekiranya berlaku bencana,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button