Negeri

Persekutuan serah tiga projek bernilai RM141 juta kepada negeri Terengganu

Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (Petra) telah menyerahkan tiga projek membabitkan tebatan banjir dan projek pemuliharaan muara sungai kepada kerajaan Terengganu

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek yang secara keseluruhannya bernilai RM141.27 juta itu diserahkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)

Dengan terlaksananya projek tebatan banjir di Guntung Luar, Setiu dan Gong Kiat, Kuala Terengganu yang masing-masing bernilai RM3.22 juta dan RM5.8 juta itu jelasnya membolehkan kira-kira 3,500 penduduk di sekitar kawasan berkenaan mendapat perlindungan daripada musibah banjir.

“Alhamdulillah, sehingga kini terbukti di mana tiada rekod kejadian banjir dilaporkan sejak projek siap pada 2022, ” katanya.

Mengulas mengenai projek pemuliharaan muara Sungai Paka di sini, bernilai RM132.25 juta ia dilaksanakan JPS rentetan daripada masalah pemendapan di muara Sungai Paka yang menyebabkan muara sungai menjadi cetek dan menjejaskan alur pelayaran.

Masalah mendapan itu jelasnya mengancam keselamatan awam, kerugian harta benda dan kemudahan awam terutama kawasan perumahan dan kediaman di Kampung Kongsi dan Taman Seberang Paka selain menjejaskan aktiviti ekonomi dan mata pencarian nelayan.

BACA LAGI: PM Anwar hulur sumbangan kepada mangsa banjir Alor Gajah

“Projek pemuliharaan muara Sungai Paka yang dimulakan pada 17 Mei 2018 dan siap pada 28 Mac 2023 itu dapat mengurangkan risiko banjir pantai dan memberi manfaat kepada seramai 1,000 penduduk di kawasan perkampungan di tebing muara sungai ini.

“Dengan pelaksanaan projek ini, diharap ia dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat Terengganu khususnya penduduk dan nelayan di kawasan muara Sungai Paka dengan mengekalkan kedalaman alur pelayaran bagi memastikan pelayaran yang selamat sepanjang kawasan berkenaan,” katanya

Related Articles

Back to top button