ekonomi

PuTERA35 dilancarkan, angkat martabat Bumiputera

Kerajaan Perpaduan terus berusaha untuk memperkasa agenda Bumiputera dengan memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) selari aspirasi Ekonomi MADANI.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata PuTERA35 disokong oleh tiga teras iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; serta menegakkan keadilan sosial.

Disokong 12 pemacu dan 132 ikhtiar, pelan yang akan merentas tempoh 10 tahun sehingga 2035 adalah lebih inklusif dan bakal menjadi anjakan besar dalam membawa pembangunan bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

“Berpaksikan semangat inklusif, kerajaan perpaduan komited untuk memastikan agenda bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

“Ini sama sekali tidak akan menafikan hak kaum lain, sebaliknya mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara,” katanya pada ucapan alu-aluan sempena pelancaran PuTERA35.

Majlis pelancaran PuTERA35 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Isnin.

BACA LAGI: Kerajaan beri jaminan kuota Bumiputera ke matrikulasi adalah kekal

Sementara itu pada ucapannya Rafizi mengajak anggota kabinet, penjawat awam, pihak swasta serta yang lain untuk bersama-sama berusaha untuk memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Pada Jumaat yang lepas, kita telah mendengar amanat perdana menteri supaya setiap daripada kita mesti mempunyai iltizam yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta bersedia untuk melaksanakan perubahan demi meningkatkan daya saing negara,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button