Semasa

Sekolah daif: KPM pastikan projek baik pulih selesai ikut jadual, demi keselesaan murid

Kementerian Pendidikan (KPM) mahu memastikan semua projek baik pulih sekolah daif di seluruh negara dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan setakat kini sebanyak 710 daripada 1,075 sekolah daif seluruh negara sudah siap dibaik pulih.

Selain itu sebanyak 164 buah sekolah sedang dalam proses pembinaan, manakala 201 lagi masih proses pra pembinaan.

“Misi kami adalah untuk memastikan (sekolah dibaik pulih) ini siap (mengikut tempoh masa ditetapkan) dengan bantuan sinergi daripada JKR bagi memastikan anak-anak kita dapat menikmati suasana pembelajaran kondusif,” katanya.

Fadhlina berkata begitu pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap di Tanjung Karang pada Isnin.

Projek gantian penuh bangunan enam bilik darjah dibawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dimulakan pada 3 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 20 Jun lalu.

Dibina dengan kos bernilai RM3.38 juta. Ia merangkumi lima bilik darjah untuk masalah pembelajaran dan sebuah bagi masalah pendengaran, bilik guru, bilik masakan, bilik rekreasi, bilik pengurusan diri, tandas dan ruang bengkel dan boleh menempatkan seramai 29 pelajar PPKI serta seramai 10 guru.

BACA LAGI: KPM sambut baik pengumuman syarat baharu kelayakan minimum perkhidmatan awam

Projek kedua yang diserahkan adalah pembinaan semula bangunan daif SK Sungai Haji Dorani bernilai RM4 juta yang mula dibina 11 Oktober 2023 dan siap sepenuhnya 9 Julai 2024.

Ia merangkumi lima buah bilik darjah, tandas murid dan tandas murid berkeperluan khas (OKU) akan memberi manfaat kepada 270 murid dan 23 guru.

Sementara itu menurut Fadhlina, 34 sekolah daif di Selangor sedang dalam proses baik pulih dengan pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan 20 projek sekolah daif sebelum penghujung tahun ini.

Related Articles

Back to top button