Politik

Pemimpin PN perlu terima kenyataan, henti cubaan kelirukan rakyat

Perikatan Nasional (PN) digesa menerima hakikat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki majoriti kukuh diangkat sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menerusi satu kenyataan berkata, pemimpin gabungan itu terutama pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera berhenti daripada mengelirukan rakyat dengan mempersoal keabsahan pelantikan Anwar.

“Tindakan Muhyiddin kembali membangkitkan mengenai lantikan Perdana Menteri yang seolah-olah menghina kewibawaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah amat mendukacitakan.

“Hakikatnya, Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri kesepuluh selepas meneliti sokongan ahli-ahli parlimen dan pandangan pakar-pakar perlembagaan dan Majlis Raja-raja,” katanya.

Muhammad Faiz sementara itu mengingatkan tindakan Muhyiddin dan PN yang menolak idea pembentukan kerajaan perpaduan diutarakan Sultan Abdullah.

Sementara itu tambahnya, Anwar turut telah membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi usul percaya pada 19 Disember 2022 yang turut disokong seramai 153 Ahli Parlimen.

“Tindakan itu adalah selari dengan maksud Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 40 (2) dan 43 (2).

“Namun, ketika berlaku Langkah Sheraton dan sepanjang pentadbiran Muhyiddin, tidak pula berlaku usul undi percaya di Parlimen, kenapa Muhyiddin tidak berani ketika itu?” soalnya.

BACA LAGI: Tengku Mahkota Pahang murka, gesa polis siasat Muhyiddin

Justeru beliau mengingatkan Muhyiddin dan pembangkang supaya memainkan tanggunjawab mereka mendidik rakyat untuk fokus kepada usaha membangunkan negara dan pemulihan ekonomi seperti yang diusahakan Anwar.

“Agenda ini yang sedang diusahakan PM (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim bersama pasukan kerajaan Perpaduan seharusnya mendapat sokongan dan pengiktirafan semua pihak,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button