Semasa

KPM tambah lagi 11 Sekolah K9 baharu, tangani isu keciciran murid di pendalaman

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah 11 lagi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) sebagai usahanya menangani masalah keciciran persekolahan dalam kalangan pelajar pedalaman.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, kementerian itu melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di bawah KPM sedang melaksanakan kerja lapangan termasuk ke Sabah dan Sarawak untuk mengenal pasti sekolah yang boleh dijadikan sebagai sekolah K9.

“Kalau kita sebut pendidikan murid Orang Asli dan peribumi, memang tidak boleh lari daripada isu keciciran, jadi untuk mengatasi perkara ini, KPM akan perluaskan bilangan sekolah K9 dengan penambahan 11 buah sekolah lagi menjadikan jumlah keseluruhan sekolah K9 sebanyak 28 buah.

“Dengan adanya sekolah K9 ini, ia akan mengurangkan isu keciciran kerana murid akan berada di sekolah yang sama dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3, jadi tidak ada transisi atau perpindahan sekolah selepas darjah 6 untuk masuk Tingkatan 1,” katanya.

Beliau sebelumnya hadir merasmikan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu jelasnya, selepas pelaksanaan kerja lapangan itu, verifikasi akhir akan dilaksanakan supaya cadangan dapat dibentangkan kepada pengurusan tertinggi KPM sekaligus memastikan 11 sekolah K9 itu dapat dibuka pada sesi baharu persekolahan akan datang.

Pada karnival itu, beliau turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, di Lipis, Pahang dipilih untuk program Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan.

BACA LAGI: Kewujudan sekolah model khas berjaya tangani isu keciciran pelajar Orang Asli

Susulan itu pelbagai kemudahan akan disalurkan KPM ke sekolah tersebut termasuk kemudahan internet tambahan menggunakan Starlink dan kemudahan tablet bagi sebahagian besar pelajar untuk membantu sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) dan inisiatif lain.

“Sekolah ini nanti akan menjadi contoh kejayaan KPM dalam memastikan pembangunan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman dilaksanakan dengan berkesan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button