Lawatan ke India jana potensi perdagangan, komited pelaburan bernilai RM12.5 bilion
Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India berjaya meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion, selain RM4.5 bilion komitmen pelaburan dari pelbagai sektor.
Melalui satu sidang media sempena mengakhiri lawatannya ke negara itu, Anwar berkata potensi perdagangan dan pelaburan itu diraih hasil pertemuan bersama pemain utama industri di India antaranya dalam sektor berasaskan sawit, bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas, serta bahan alat ganti kapal terbang.
“Pada masa sama, tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B to B) di kedua-dua negara dimeterai selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G to G) dimeterai sewaktu lawatan rasmi ini.
“Nilai perdagangan Malaysia-India tahun 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 dengan nilai RM4.5 bilion, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan,” katanya.
Terdahulu Anwar mengadakan mesyuarat meja bulat bersama dengan pemain dan peneraju pelbagai industri dari pelbagai sektor.
Sebelum berlepas pulang beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam iaitu Maulana Syed Ahmed Bukhari dari Masjid Jama dan Maulana Mahmood A Maddani dari Jamiat Ulama-i-Hind.
Sementara itu Anwar pada sidang medianya turut memuji sambutan diberikan kerajaan India sepanjang lawatannya.
BACA LAGI: Hubungan akrab Malaysia-India terserlah pada lawatan rasmi PM Anwar
“Layanan amat baik diberikan Kerajaan India termasuk daripada Perdana Menteri, Narendra Modiā¦ saya memanjangkan jemputan kepada Presiden dan Perdana Menteri India untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bagi meneruskan lagi momentum hubungan dua hala,” katanya.
Selain itu Modi juga menyatakan persetujuan untuk memberi sokongan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
.