Paralimpik Paris: Hannah optimis kontinjen negara mampu bawa pulang empat pingat emas
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melahirkan rasa optimis kontinjen paralimpik negara mampu membawa pulang empat emas pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024
Keyakinan itu disuarakan susulan barisan atlet terutama mereka yang sudah berpengalaman mampu mempamerkan aksi luar biasa.
“Kita doakan mereka berjaya. Bagi atlet yang kali pertama, saya harap mereka dapatkan ketenangan dan keyakinan kerana Sukan Paralimpik merupakan platform berbeza,” katanya.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas majlis pelepasan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mensasarkan empat pingat emas pada temasya kali ini.
Sebagai rekod, Malaysia telah mengumpul enam emas secara keseluruhan pada temasya berprestij berkenaan, dengan tiga diperoleh di Rio dan tiga lagi dirangkul di Tokyo 2020.
BACA LAGI: Kerangka baharu sukan bakal disiapkan, tingkat prestasi sukan negara
Sementara itu, Hannah menasihatkan para atlet menjaga keselamatan diri dan barangan peribadi sepanjang berada di Paris, terutama selepas insiden cubaan rompakan berkumpulan yang melibatkan dua petugas televisyen Australia.
“Kebimbangan saya hanyalah satu, iaitu isu keselamatan. Para atlet harus berhati-hati ,” tambahnya.