Semasa

PM Anwar arah selaraskan penugasan pelbagai agensi, lawan ketirisan dengan berkesan

Perdana Menteri mengarahkan agar penyelarasan kalangan penguat kuasa pelbagai agensi diwujudkan bagi menangani isu ketirisan dan kebocoran secara berkesan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan di Majlis Amanat Bersama Warga Penguatkuasa KPDN di Putrajaya pada Jumaat berkata, penyelarasan dan hubungan baik antara agensi penguatkuasaan perlu untuk melawan kelompok besar terbabit jenayah berkenaan.

“Kita minta supaya penyelarasan penguatkuasaan (antara) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia, harus ada penyelarasan berkesan.

“Tak mungkin kita boleh selesaikan (masalah penyeludupan, ketirisan, kebocoran) dengan hanya satu penguat kuasa sahaja. Kita berdepan kekuatan yang luar biasa, puluhan tahun nak rungkai, (penjenayah) anggap satu tindakan yang mencabar kedudukan dia,” katanya.

Pada majlis itu beliau melancarkan portal Ihsan MADANI yang menjadi platform khusus untuk rakyat menyemak dan memohon bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan.

BACA LAGI: PBT di Wilayah Persekutuan akan laksana reformasi, tingkat kecekapan

Sementara itu Anwar berkata, sekiranya agensi penguatkuasaan berdepan sebarang isu berbangkit berkaitan penyelarasan itu, ia perlu dibawa kepada menteri agar dapat diselesaikan di peringkat Kabinet.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua anggota dan pegawai penguat kuasa agar memperbetulkan sebarang pelanggaran salah laku yang menjejaskan imej penjawat awam.

“Kita harus perbetulkan kelemahan kelompok kecil yang merosakkan imej kita kerana mereka melaksanakan tugas bertentangan dengan nilai keinsanan, moral dan akhlak, sebab itu ada pelanggaran hukum,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button