Teknologi

Program ‘saintis turun ke sekolah’ dimulakan bulan ini – Menteri MOSTI

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa golongan saintis ke sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang bioteknologi.

Menterinya Chang Lih Kang berkata, bagi tujuan itu kementeriannya akan mempercepat pelaksanaan program “STI 100 on the Power of Three” (STI 1003) pada bulan ini.

“Untuk tempoh 100 hari, kami akan melaksanakan program ini di 100 buah sekolah. Kami sudah ada semua perancangan serta mendapat kerjasama dan kebenaran Kementerian Pendidikan.

“MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) juga bersedia dengan senarai calon saintis di bawah kelolaan ASM dan kami jangka untuk mula bulan ini,” katanya.

Lih Kang berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara (MSN) 2024 di Sekolah Menengah Han Chiang di George Town pada Jumaat.

Perdana Menteri mengarahkan program itu ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Ia sebagai sebahagian usaha kerajaan menarik lebih ramai pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) susulan penurunan peratusan pelajar menceburi bidang tersebut.

BACA LAGI: Rangka kerja komprehensif akreditasi kursus pendek bakal dibangunkan

Sementara itu Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, pihaknya sudah menyenaraikan saintis tempatan ini bukan sahaja terdiri penyelidik malah turut membabitkan pengamal pelbagai industri termasuk bioteknologi, angkasa dan nanoteknologi dalam program itu.

“Program ini tiada sukatan pelajaran khas kerana para saintis ini akan dijemput untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar.

“Kami akan menggabungkan program STI 1003 dengan program sedia ada, sebagai contoh apabila kami menganjurkan Kem STEM, saintis ini akan diundang untuk memberi ceramah kepada pelajar,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button