STR Fasa 3 diagihkan Khamis depan, libat 8.5 juta penerima
Kementerian Kewangan (MoF) akan mengkreditkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 kepada 8.5 juta penerima yang layak mulai 29 Ogos (Khamis) depan.
Kementerian itu melalui satu kenyataan berkata, bagi penerima baharu dan rayuan STR, mereka bakal menerima bayaran mulai 18 September.
“Penerima sedia ada dan penerima baharu mahupun rayuan yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.
“Status kelayakan STR dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos 2024 dan soalan lazim boleh didapati di portal rasmi STR,” kata kenyataan itu.
MoF turut memaklumkan, penerima akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024 lalu mengumumkan peruntukan STR ditingkatkan kepada RM10 bilion berbanding RM8 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Penambahan peruntukan 25 peratus itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat terutamanya keluarga di bawah kategori kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) terendah.
BACA LAGI: 200 nelayan di Selangor terima bantuan dari kerajaan negeri
Sementara itu menurut MoF, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu mulai tahun 2024 dengan membuka pendaftaran STR sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini,” jelas kenyataan itu.