Semasa

Adakan pemetaan utiliti bawah tanah, elak kejadian tanah jerlus berulang – Fahmi

Ahli Parlimen Lembah Pantai memberi saranan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah.

Fahmi Fadzil sebagai mengulas insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Jalan Masjid India pada Jumaat berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kejadian sama yang merisikokan nyawa orang awam dapat dielakkan.

“Saya sebagai ahli Parlimen telah terima banyak aduan apabila satu kawasan itu hendak dibangunkan, kerja-kerja korek menunjukkan ada kabel besar TNB contohnya, tapi tiada dalam peta.

“Jadi saya lihat kita perlu berikan kerjasama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memastikan kita bukan hanya ada pemetaan di bahagian permukaan, tapi juga pemetaan utiliti. Saya serahkan kepada Datuk Bandar dan sudah pasti kami dalam kalangan ahli Parlimen kita akan menyokongnya,” katanya.

Terdahulu Fahmi yang juga Menteri Komunikasi hadir ke program Gotong-Royong Mega Merdeka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Program pembersihan secara serentak melibatkan 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, julung kali diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Maimunah memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan semua agensi yang mempunyai utiliti bawah tanah.

Ia bagi berbincang mengenai pemetaan utiliti bagi mengelakkan insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Masjid India seperti disarankan.

BACA LAGI: Program ‘saintis turun ke sekolah’ dimulakan bulan ini

“Saya telah pun melihat bahawa kita ada GIS (Sistem Maklumat Geografi), selain itu kita perlu ada pemetaan bukan sahaja dari segi utiliti, pemetaan dari segi kemudahan-kemudahan DBKL juga diperlukan, contohnya kawasan lapang, mana yang telah digazetkan dan mana yang telah pun yang ada vandalisme, mana yang perlu dinaik taraf,” katanya.

Related Articles

Back to top button