Semasa

Cadang naik elaun ‘on call’ petugas perubatan akan dibincangkan dengan PM – Menteri

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum cadangan Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) agar kadar elaun tugas atas panggilan atau ‘on call’ petugas perubatan diteliti semula.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pihaknya menyokong saranan tersebut dan akan meneliti mengenainya untuk dibawa kepada perdana menteri.

“Saya sangat menyokong dan pastinya saya akan mengemukakan syor ini kepada perdana menteri supaya elaun ini dipertimbangkan,” katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.

Beliau sebelumnya hadir ke majlis penyerahan tiga fasiliti kesihatan Terengganu di Hospital Dungun pada Sabtu.

Sebelum ini, HDK mengesa kerajaan menyemak semula kadar elaun tugas atas panggilan yang tidak disemak lebih sedekad lalu bagi mengekalkan kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut kumpulan itu, meskipun kerajaan telah mengumumkan penyelarasan gaji untuk kakitangan awam, terdapat keperluan mendesak menyemak semula elaun tersebut yang tidak disemak lebih sedekad lalu.

Sementara itu Dzulkefly sebagai mengulas tiga fasiliti kesihatan yang diserahkan itu berkata, ia bakal memberikan manfaat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi 190,000 penduduk di daerah itu.

BACA LAGI: Persekutuan serah tiga projek bernilau RM141 juta kepada negeri Terengganu

Pembangunan bangunan baharu Hospital Dungun dengan penambahan kapasiti katil kepada 218, empat dewan bedah dan enam katil ICU serta dilengkapi fasiliti perubatan terkini sekaligus menaik taraf Hospital Dungun daripada hospital tanpa pakar kepada hospital pakar minor.

Ia dibangunkan dengan kos keseluruhan RM153 juta dan akan beroperasi 1 Okt ini.

Selain bangunan baharu itu, turut diserahkan adalah Klinik Kesihatan Kota Putera dan Klinik Kesihatan Paya Datu.

Related Articles

Back to top button