Lembah Pantai anjur Majlis Tindakan peringkat Parlimen, kumpul pihak berkepentingan
Parlimen Lembah Pantai pada Sabtu mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Lembah Pantai membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi sebarang isu berbangkit di parlimen Lembah Pantai.
Ahli Parlimennya, Fahmi Fadzil berkata, majlis yang pertama kali diadakan di peringkat Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu juga merupakan usaha pihaknya untuk memastikan pembangunan di parlimen itu menjadi lebih mampan dan lestari dalam aspek alam sekitar.
“Platform ini adalah untuk kita cari titik temu, ia bukan sebagai penyelesaian untuk satu pihak dapat anything they requested for, tetapi untuk keputusan-keputusan yang akan dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (terhadap Parlimen Lembah Pantai) akan mengambil pandangan yang disampaikan (oleh mesyuarat ini),” katanya dalam satu sidang media di IWK Ecopark@Lembah Pantai.
Mesyuarat yang pertama kali diadakan di Parlimen Lembah Pantai itu membincangkan antara lain isu komuniti setempat, usaha penanaman pokok di sekitar Lembah Pantai, dan projek pembangunan.
Ia mengumpulkan pelbagai pihak terdiri dari pemaju, pemimpin dan penduduk setempat, serta pakar itu menjadi platform terbaik bagi membincangkan isu-isu pembangunan yang dihadapi oleh komuniti setempat.
BACA LAGI: 1,400 hektar kawasan lapang di Kuala Lumpur dalam proses pewartaan kawasan hijau
“Minit-minit mesyuarat majlis ini juga kita akan panjangkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa supaya mereka ambil kira pandangan yang disampaikan,” tambahnya lagi.
Fahmi sementara itu menasihati warga Lembah Pantai untuk menunaikan tanggungjawab sosial mereka dengan sentiasa menjaga alam sekitar dan membayar cukai-cukai berkaitan bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada mereka kelak dapat dilaksanakan dengan baik.