Semasa

Jangan persoal usaha kerajaan bela rakyat Palestin

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mempersoal usaha kerajaan membela nasib rakyat Palestin.

Menyifatkan mereka sebagai biadap dan tidak berperikemanusiaan, Perdana Menteri dalam nada sinis berkata, kumpulan berkenaan tidak layak memperjuangkan perkara itu, selain menegaskan keadaan sedemikian tidak boleh dibiar berterusan.

“Ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, sebenarnya saya terpanggil untuk menjawab telahan seseorang yang kebetulan bukan daripada kelompok pemerintah.

“Sarjana terbabit kata kalau bawa rakyat Palestin (ke negara ini), jangan jejak ke bumi Sarawak. Ini pandangan paling biadap, tidak tahu erti kemanusiaan.

“Orang begini tidak layak menjadi rakyat yang faham dengan isu ini.

“Apa sahaja fahaman melampau, jangan kita biarkan dan kalau ia (kenyataan ekstrem) diizinkan akan menjadi barah, termasuk suara penentu,” katanya pada majlis Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak di Facebook, yang mempersoal tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia.

Pada 15 Ogos lalu Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin tercedera membabitkan 20 lelaki dan 21 perempuan berusia lapan bulan hingga 62 tahun bersama ahli keluarga mereka untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini .

Turut dibawa ke Malaysia adalah 86 waris pesakit memandangkan kebanyakan dari pesakit adalah kanak-kanak, selain atas dasar kemanusiaan.

Sementara itu, Perdana Menteri menasihati orang ramai supaya tidak terbuai dengan slogan diketengahkan sesetengah pihak yang menggunakan isu Palestin sebagai modal politik.

BACA LAGI: PM Anwar ulangi kritikan terhadap hipokrit dunia terhadap Palestin

“Orang paling kuat menentang kezaliman Israel (sebelum ini) masih mengizinkan perdagangan langsung dengan syarikat Israel, seperti yang berlaku di negara kita.

“Kabinet di bawah Kerajaan MADANI secara sebulat suara setuju menghentikan segala bentuk perdagangan langsung (dengan Israel).

“Orang yang mengizinkan perdagangan langsung dengan Israel itu kemudian mencerca kerajaan.

“(Mereka) perlu menjawab mengapa ketika mereka terlibat dengan tampuk penguasaan, mengizinkan perdagangan secara terus dengan Zim dan syarikat Israel. Ini isu pokok yang perlu dijawab,” katanya.

Related Articles

Back to top button