Malaysia komited tingkat kualiti pendidikan digital – Fadhlina
Malaysia sentiasa komited meningkatkan kualiti pendidikan digital bersama masyarakat antarabangsa dalam usaha mentransformasikan ekosistem pendidikan di rantau ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melalui ucapan di Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-13 di Buriram, Thailand pada Ahad berkata, usaha itu telah dimulakan kerajaan melalui pelancaran Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan.
Dasar yang dilancarkan pada November lalu itu jelasnya merupakan satu rangka kerja strategik bertujuan memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.
” Dasar ini memberi tumpuan kepada melahirkan generasi yang celik digital dan berdaya saing.
“Ia dicapai melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai pelajar, pendidik serta pemimpin pendidikan; pelaburan dalam infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang kukuh; serta pembabitan aktif rakan strategik untuk mewujudkan ekosistem pendidikan digital yang kukuh dan bersepadu.
“Ini selaras matlamat SDG4 (Matlamat Pembangunan Mampan 4), bertujuan memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua,”katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Mesyuarat ASED Ke-13 dan Mesyuarat Berkaitan bertema ‘Transforming Education in the Digital Era’ berlangsung di Chang Arena.
Sementara itu melalui ucapan sama Fadhlina memaklumkan, tahun hadapan Malaysia akan menghadapi tahun sangat penting apabila mengambil alih peranan selaku Pengerusi ASEAN
Selaku Pengerusi, ia adalah peluang keemasan untuk menilai semula Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang diterima pakai sedekad lalu pada 2015.
“Inilah masanya untuk kita menilai kemajuan, menilai semula matlamat kita dan merangka dokumen hasil baharu yang akan membimbing landskap pendidikan tinggi ASEAN bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Usaha ini bukan sekadar menghormati komitmen masa lalu, tetapi juga membentuk masa depan pendidikan di rantau ini, memastikan ia kekal relevan, inovatif serta memberi kesan dalam konteks global yang sentiasa berubah,” tambahnya.
BACA AGI: Kerajaan bakal perkasa pendidikan Islam, bendung ideologi liberalisme dan pluralisme
Fadhlina turut memberitahu, sebagai komitmen merealisasikan hasil Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2021-2025, KPM mengumumkan penganjuran Seminar Serantau ASEAN yang memfokus penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau kanak-kanak dan belia tidak bersekolah atau ‘out-of-school children and youth’ (OOSCY).