Semasa

KKM jamin bekalan insulin mencukupi hingga akhir tahun

Bekalan semasa insulin manusia di negara ini masih mencukupi bagi menampung keperluan pesakit sekurang-kurangnya sehingga menjelang akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, kekurangan bekalan berpunca daripada satu daripada dua pembekal kementerian yang gagal memenuhi kewajipan kontrak untuk menyediakan bekalan itu.

Bagaimanapun menurutnya, kekurangan bekalan itu masih belum pada peringkat membimbangkan dan pihaknya sedang berusaha mencari pembekal alternatif lain termasuk dari luar negara selain mempercepatkan permohonan pendaftaran dalam tempoh 60 hari berbanding beberapa bulan sebelum ini.

“KKM akan memastikan bekalan terbabit diperoleh daripada pembekal tidak kira daripada tempatan atau luar negara seperti India.

“Dalam memastikan kesihatan pesakit ini tidak terjejas, KKM juga mempunyai langkah lain termasuk meningkatkan penggunaan analog insulin dan terapi oral,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata begitu pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Malaysia International Healthcare (MIH), di Kuala Lumpur pada Isnin.

BACA LAGI: Cadang naik elaun ‘on call’ petugas perubatan akan dibincangkan dengan PM

Rabu lalu, portal kesihatan Code Blue melaporkan krisis kekurangan insulin melanda fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara disebabkan masalah bekalan dengan pengeluar tempatan.

Code Blue difahamkan bahawa bekalan insulin manusia adalah sangat kritikal di Selangor, dengan laporan kekurangan di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, dan Kedah.

Related Articles

Back to top button