Teknologi

Aplikasi soal jawab hukum muamalat Islam dapat sambutan orang ramai

Aplikasi soal jawab hukum muamalat umat Islam, Al-Inarah mendapat sambutan mengalakkan kerana selari dengan perkembangan semasa.

Pencetus aplikasi tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata sebanyak 7,000 artikel dimuat naik dalam tempoh tiga tahun bukan kerja mudah, namun dilakukan dengan semangat kerja berpasukan.

“Saya dengan rendah hati memohon sekiranya para ulama mendapati ada kekurangan pada mana-mana artikel, boleh sampaikan untuk semakan kami.

“Terima kasih juga kepada lebih 400 orang yang memberikan “rating” 4.9 kepada aplikasi Al-Inarah. Ia satu penghormatan bagi kami,” katanya di ciapan laman X, pada Isnin.

Mengulas lanjut, hasratnya itu telah lama dipendam sejak menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan lagi dan ia diteruskan selepas sambutan luar biasa pengguna internet.

“Namun, Allah SWT lebih mengetahui hikmah yang berlaku. Apabila saya mula kembali menjawab soalan-soalan agama setelah “berehat” seketika semasa menjawat jawatan Menteri pada 10 Januari 2022, sambutan masyarakat amat luar biasa.

“Dengan hampir lima juta kunjungan ke web http://maktabahalbakri.com hari ini, sejak tiga tahun lalu saya mula memikirkan pendekatan yang lebih mesra dengan kemajuan zaman.

“Hasil usaha jitu pasukan media Maktabah Al-Bakri, lahirlah aplikasi Al-Inarah yang dibina seadanya, dengan sumber kewangan yang amat terhad,” katanya.

Ujarnya, beliau dan pasukannya mempunyai banyak lagi kejutan dan dengan doa serta sokongan umat Islam di Malaysia, Maktabah Al-Bakri akan berusaha menjadi peneraju utama kepada hab soal jawab agama di Malaysia.

Related Articles

Back to top button