Kabinet mahu pelesenan perkhidmatan media sosial diteruskan ikut jadual – Fahmi Fadzil
Mesyuarat Kabinet dipengerusi Perdana Menteri pada Rabu memutuskan untuk meneruskan rancangan melaksanakan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat jemaah menteri memutuskan tidak akan berganjak dari keputusan itu mengikut garis masa ditetapkan iaitu mulai 1 Jan depan.
“Perdana Menteri dan Jemaah Menteri memutuskan bahawa kita akan meneruskan dengan tindakan mengenakan kerangka kawal selia lebih ketat.
“Ia adalah untuk melesenkan dua bentuk perkhidmatan iaitu platform media sosial dan sistem pesanan internet, ia tidak membabitkan mana-mana aplikasi lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi sebelumnya disoal sama ada isu surat terbuka oleh Gabungan Internet Asia (AIC) yang meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan pelesenan dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
AIC merangkumi Google, Meta, dan X menggesa penagguhan itu atas alasan peraturan yang dicadangkan tidak cukup jelas selain boleh menyekat inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar ke atas perniagaan.
BACA LAGI: Platform media sosial beri respons positif terkait isu perlesenan
Sebagai rekod, usaha pelesenan perkhidmatan media sosial adalah untuk memastikan keselamatan dalam talian, menangani penyebaran berita palsu, dan memelihara integriti platform media sosial di Malaysia.
Kerajaan telah menegaskan bahawa lesen ini tidak akan mengekang kebebasan bersuara dan pengguna masih dibenarkan untuk berkongsi pendapat dan pandangan mereka selagi tidak melanggar undang-undang sedia ada.