Semasa

Kerajaan akan jalankan ‘post mortem’ tanah jerlus di Masjid India

Audit integriti terhadap keseluruhan sistem utiliti di Jalan Masjid India akan dilaksana selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pemeriksaan tersebut penting bagi memastikan keselamatan orang awan selain untuk mengetahui punca berlakunya kejadian mendapan di kawasan berkenaan.

“Kita akan melihat apa sahaja utiliti dan keseluruhan sistem yang ada di bawah tanah ini dengan membuat ‘post mortem’ dan bagaimana untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa depan… sebab kadang-kadang ada pembangunan baharu yang dilaksanakan, jadi kita nak cari punca (kejadian mendapan tanah).

“Kita akan melihat punca dan akan menambah baik sistem (utiliti) ini,” katanya melalui satu sidang media pada Rabu.

Beliau sebelumnya hadir ke lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India sehingga menyebabkan seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.

Sementara itu Fadillah mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu termasuk kewujudan mendapan kedua kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

BACA LAGI: Fahmi saran adakan pemetaan utiliti bawah tanah, elak kejadian tanah jerlus berulang

“Saya mengharapkan semua pihak jangan buat spekulasi seperti sebelum ini ramai ‘pakar google’ akan keluar…ini tidak akan membantu, biarlah pihak terlibat membuat siasatan. Setakat ini tempat tersebut (Jalan Masjid India) selamat,” katanya.

Mengulas negara luar yang menawarkan kepakaran mereka untuk membantu operasi SAR yang kini memasuki hari keenam, Fadillah berkata tiada keperluan untuk itu pada ketika ini memandangkan pasukan SAR negara mempunyai kepakaran, peralatan dan teknologi terkini.

Related Articles

Back to top button