Semasa

Kerajaan pastikan pembangunan di Kuala Lumpur lebih teratur, selamat di masa depan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dalam proses pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembangunan di sekitar ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah tersebut bagi memastikan pembangunan di Kuala Lumpur pada masa depan akan lebih teratur dan berkesan.

Tambahnya, kajian geo teknikal lebih meluas akan turut dilibatkan dalam proses tersebut sekaligus mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul.

“Sebelum ini kajian Geo Teknikal ini hanya dilaksanakan membabitkan kawasan-kawasan cerun berbukit (risiko tanah runtuh).

“Insya-Allah pada masa akan datang kita akan lihat juga keperluan di kawasan tanah yang rata,” katanya.

Terdahulu Dr Zaliha meninjau runtuhan sistem perparitan di jalan Pantai Permai Kampung Kerinchi, Pantai Dalam pada petang Rabu.

Turut bersama dalam tinjauan itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai .

Media sebelum ini melaporkan kejadian longkang runtuh di kawasan itu sehingga mengakibatkan lubang besar berlaku berpunca dari paip utama Indah Water Konsortium (IWK) yang pecah.

Sementara itu Dr Zaliha memaklumkan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif akan membuat pemetaan di seluruh Kuala Lumpur bagi meneliti kawasan yang berpotensi berlakunya lubang mendap (sinkhole), kawasan yang tidak selamat dan sebagainya.

BACA LAGI: Pasukan khas kaji keselamatan struktur tanah di Kuala Lumpur diaktifkan

“Kita akan lakukan segera tetapi sudah tentu perkara ini akan mengambil masa sedikit untuk mendapatkan (laporan) di seluruh Kuala Lumpur.

“Keutamaan ialah kawasan yang berlaku lubang mendap baru-baru ini, di Masjid India,” katanya.

Related Articles

Back to top button