Senator Fuziah Salleh dilantik pengerusi PH negeri Pahang
Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Senator Fuziah Salleh dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Pahang yang baharu.
Pelantikan itu bagi menggantikan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Saari yang memegang jawatan itu sejak tahun 2022 diputuskan pada mesyuarat pimpinan negeri diadakan pada Isnin lalu.
“Mesyuarat merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada Datuk Seri Amirudin Saari sebagai mantan Pengerusi PH Pahang di atas segala usaha, komitmen dan kesungguhan beliau yang menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah negara, PH membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN),” kata Fuziah melalui satu kenyataan media.
Fuziah yang juga Pengerusi KEADILAN Pahang dalam kenyataan sama turut menyatakan komitmennya untuk mengukuhkan gabungan di negeri tersebut.
Sementara itu Fuziah menegaskan, PH Pahang bersepakat untuk mendukung persefahaman bersama yang telah ditandatangani dan akan terus memperkukuhkan Kerajaan Negeri selaras dengan dasar perpaduan dan muafakat dalam perkongsian kuasa bersama.
“Sesungguhnya pembentukan kerajaan Pahang hari ini adalah hasil sumbangan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan dalam pilihanraya ke-15 yang lalu
“Mesyuarat turut memutuskan agar lebih ramai pendokong PH mesti dilibatkan ke dalam struktur akar umbi Kerajaan Perpaduan Pahang dalam membentuk keutuhan kerjasama terutama sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya ke-16 kelak,” katanya lagi.
BACA LAGI: KEADILAN Pahang bentuk jawatankuasa kepimpinan baharu
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah memaklumkan mesyuarat mengambil pendirian untuk menzahirkan sokongan sepenuhnya kepada Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.
Mengulas isu keceluparan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah mempertikaikan kebijaksanaan baginda ketika melantik Perdana Menteri ke-10, Fuziah menegaskan PH Pahang berikrar mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu khususnya Sultan Pahang.