ParlimenSemasa

Hasil laporan RCI Batu Puteh akan dibawa ke Parlimen

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada Rabu.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said berkata, Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan memutuskan supaya dapatan dan syor-syor di dalam laporan itu dikemukakan dibahaskan di Parlimen.

“Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya laporan suruhanjaya ini dibentangkan di Parlimen.

“Syor yang dikemuka akan dibahaskan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 3 Feb 2017, Putrajaya memfailkan permohonan semakan keputusan hak ke atas Batu Puteh.

Namun, kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 bertindak menarik balik permohonan tersebut.

BACA LAGI: RCI Pulau Batu Putih bantu kerajaan ketahui prosedur berkait kedaulatan

Susulan itu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Feb lalu memperkenan penubuhan RCI dengan diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif bagi menyiasat mengapa Malaysia menggugurkan permohonan semakan tersebut.

Pada 12 Jun lalu, Mahathir memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.

Related Articles

Back to top button