Semasa

Kerajaan tak bincang isu berkaitan GST, tiada hasrat perkenal semula

Kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenal cukai kepenggunaan terutama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai alternatif kepada menghapuskan subsidi petrol RON95.

Jurucakap mewakili Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil ditemui pemberita di Dataran Putraja semalam berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan dipihak kerajaan untuk mengembalikan GST.

“Tak ada, tak ada apa-apa perbincangan (berkaitan GST),” katanya ringkas.

Fahmi sebelumnya diminta mengulas satu laporan media dalam talian bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenal semula cukai berkenaan bagi meningkatkan kewangan kerajaan.

Berdasarkan laporan terbabit, ia adalah sebagai langkah politik ‘mudah’ dengan mengembalikan GST berbanding melaksanakan penyasaran subsidi yang dilihat sebagai tindakan kurang popular.

Baru-baru ini Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pengarah Cawangan Kajian Negara, Jabatan Ekonomi OECD, Luiz De Mello berkata, langkah itu wajar dilakukan kerana Malaysia harus meningkatkan hasil memandangkan penerimaan cukai hanya menyumbang 12 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) ekonomi secara keseluruhan.

BACA LAGI: Kerajaan fokus penyasaran subsidi lebih adil, tak cadang perkenal percukaian baharu

Bagaimanapun Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menurut laporan media menegaskan, Malaysia tidak berhasrat mengembalikan semula GST untuk meningkatkan hasilnya, seperti disarankan OECD.

Tegasnya, terdapat banyak cara untuk mencapai pengukuhan fiskal dengan kumpulan berbeza yang menawarkan pelbagai perspektif.

Related Articles

Back to top button