Selangor lancar Dana Pembangunan Ekonomi Wanita, bantu usahawa kraf tangan
Kerajaan Negeri Selangor terus memperkenal pelbagai inisiatif untuk memajukan ekonomi rakyatnya termasuk golongan wanita.
Terbaharu, Selangor melancarkan program Dana Pembangunan Ekonomi Wanita (DEW) bagi meningkatkan daya saing usahawan produk kraf tangan seiring perkembangan semasa.
Program oleh Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd (WBS) dengan kerjasama Khadijah International Waqf (L) Foundation (KIWF) itu bakal membimbing usahawan terbabit meningkatkan mutu produk dan strategi pemasaran.
“Program ini juga melibatkan sesi mentor mentee, penjualan secara digital, perluasan jaringan perniagaan serta jualan fizikal di galeri Khadijah Artisans di Menara Merdeka 118.
“Kita berharap usahasama ini dapat membuahkan hasil dan membantu golongan wanita negeri mempunyai lebih banyak ruang untuk menjana pendapatan sekali gus mengembangkan industri kraf tangan di Selangor,” kata EXCO pembangunan wanita, Anfaal Saari.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) program DEW antara WBS dan KIWF di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada Khamis.
BACA LAGI: Selangor tidak hanya bantu, namun selesai isu utama dihadapi rakyat
Sementara itu tegasnya, Kerajaan Negeri komited mengembangkan industri kraf tangan Selangor sekaligus meningkatkan potensi pasaran bukan saja dalam negara malah ke peringkat antarabangsa.
DEW melibatkan program bimbingan selama tujuh bulan dengan 10 usahawan terbaik dari Pusat Wanita Berdaya (PWB) seluruh Selangor akan dipilih.
Ia selaras Matlamat Kedua Dasar Wanita Selangor 2024-2026 iaitu meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir.
Selepas melalui tempoh bimbingan tujuh bulan usahawan terpilih berpeluang mendapat geran bagi mengembangkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi.