Nasional

Sisa industri sawit jadi sumber bahan mentah sektor ekonomi hijau

Sisa industri sawit kini menjadi sumber bahan mentah penting bagi sektor ekonomi hijau melalui penghasilan produk nilai tambah tinggi yang mampu menjana pulangan ekonomi menarik, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

Menerusi satu kenyataan beliau berkata, sisa biojisim terhasil daripada pokok sawit seperti tandan buah sawit kosong (EFB) bukan sahaja boleh dijadikan sumber biotenaga boleh diperbaharui malah, boleh digunakan dalam penghasilan pulpa dan kertas yang lebih bernilai tinggi serta baja bio-organik yang mesra alam.

“Malaysia selaku pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia di mana sektor ini juga merupakan penyumbang terbesar dalam industri biojisim dalam negara.

“Maka, inisiatif beberapa syarikat tempatan yang mentransformasikan sisa buangan industri sawit khususnya penggunaan EFB dalam penghasilan bahan pulpa dan kertas serta baja bio-organik adalah bertepatan dengan agenda kerajaan dalam membudayakan amalan hijau dan pengaplikasi teknologi hijau secara lestari,” katanya.

Foong Hin berkata, potensi dan manfaat daripada sumber biojisim berkenaan cukup besar, maka kerjasama antara pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta dan masyarakat umum amat diperluikan untuk merealisasikan potensi secara itu secara efektif.

“Melalui perkongsian pengetahuan, teknologi, dan sumber daya, kita dapat mengembangkan dan memanfaatkan biojisim dengan lebih efisien, sambil meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu, Chan telah mengadakan satu lawatan kerja rasmi di Pahang yang memberi fokus utama kepada penggunaan sisa biojisim sawit dalam merancakkan inisiatif ekonomi kitaran bagi sektor agrikomoditi negara.

Lawatan kerja ke Syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB) yang terletak di Taman Teknologi Hijau (GTP), Pekan dan Kebun Durian dimiliki Able Land Sdn. Bhd. di Raub, Pahang.

GTP dibangunkan oleh NGGB sebagai model industri hijau perintis yang merevolusikan industri percetakan dan penerbitan dengan menyediakan sumber baharu pulpa dan kertas mampan daripada biojisim sawit, serta menyepadukan tenaga boleh diperbaharui yang inovatif dan teknologi sifar sisa dalam operasi kilang tersebut.

Related Articles

Back to top button