Semasa

PM Anwar hargai semangat rakyat semarakkan sambutan kemerdekaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sanggup menunggu seawal pagi demi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya perdana menteri berkata, beliau bangga melihat penyertaan penuh bersemangat dan bertenaga daripada pasukan keselamatan, badan penguat kuasa, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta serta anak-anak pelajar dalam perarakan.

“Saya juga kagum melihat pelbagai persembahan yang memukau, terutamanya pertunjukan aset-aset udara serta persembahan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka yang mengangkat tema integriti dengan mengetengahkan perjuangan membersihkan negara daripada rasuah.

“Persembahan dan sorakan menakjubkan daripada sekitar 2,000 anak-anak pelajar yang memenuhi pasukan Teres Grafik Manusia juga mencuri tumpuan sepanjang perarakan ini,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya semalam berjalan lancar dengan lebih 100,000 pengunjung membanjiri kawasan itu.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah buat kali pertama selepas Seri Paduka Baginda mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sementara itu perdana menteri melalui hantaran lain menzahirkan harapan agar semangat jiwa merdeka dan perpaduan yang ditonjolkan pada sambutan itu kekal berpanjangan.

BACA LAGI: Merdekakan jiwa, elak sebar kandungan jelek di laman sosial 

Semangat patriotik yang ditonjol oleh rakyat itu jelasnya mampu memacu usaha mengangkat darjat dan martabat negara ke tahap lebih hebat.

“Saya amat berbangga kerana dapat berkongsi semangat patriotik, perpaduan dan kecintaan pada tanah air ini bersama-sama kalian di hari penuh bersejarah dan bermakna ini,” kata Anwar.

Related Articles

Back to top button