PRK Mahkota: semua komponen Kerajaan Perpaduan akan turun padang
Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan telah menyatakan komitmen untuk turun padang dan membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga koordinator Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya itu berkata ia sekali gus memberikan dorongan tambahan kepada BN dalam mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
“Kita koordinasi dengan baik (dan) kita telah dapat jaminan kerjasama daripada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada satu program di Dewan Felda Air Tawar 3 di Kota Tinggi pada Ahad.
PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept ini.
BACA LAGI: Hari pengundian PRK DUN Mahkota ditetapkan 28 September depan
Ia susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.
Difahamkan pengumuman calon BN akan diadakan serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya itu tidak lama lagi.