Semasa

KDN garis 11 strategi kekang penyeludupan, penyalahgunaan dadah

Jenayah penyeludupan serta penyalahgunaan dadah dan substans (bahan) masih memberi implikasi utama dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

Justeru Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 yang dilangsungkan pada Isnin telah mengambil ketetapan agar 11 strategi utama perlu dilakukan dalam usaha mengekang jenayah terbabit.

“Persidangan mengetengahkan 30 kertas perbincangan membabitkan empat kluster iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keselamatan sempadan, keselamatan siber dan keselamatan sosial.

“Semua pihak berkepentingan perlu memberikan komitmen terhadap 11 strategi yang digariskan itu, selain tindakan susulan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan resolusi yang mengenal pasti jenayah dadah dan substan sebagai ancaman utama negara,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi, pada sesi penutup persidangan bertemakan ‘Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi’ di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada persidangan itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Memetik laporan media, 11 strategi utama tersebit adalah untuk meningkatkan penggunaan teknologi canggih seperti dron, pengawasan satelit dan sistem pengesanan automatik untuk memperketat kawalan sempadan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.

Memperkasa kerjasama antara agensi keselamatan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi meningkatkan kecekapan dalam memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan dadah di sempadan.

Menyediakan sumber dan dana bersesuaian untuk meningkatkan keupayaan tenaga manusia dan infrastruktur yang berdaya tahan, moden dan berteknologi tinggi.

Melaksanakan operasi penguatkuasaan lebih agresif di peringkat domestik dan antarabangsa secara bersepadu untuk memerangi jenayah penyeludupan, khususnya yang membabitkan dadah dan substans.

Selain itu program rawatan dan pemulihan akan diperkasa secara holistik; integriti dalam kalangan anggota penguat kuasa pula bakal diperkukuh bagi menangani ancaman dadah dan substans.

Dalam usaha mengenal pasti ancaman penyeludupan, penggunaan teknologi canggih akan dipertingkat; kerjasama antara agensi keselamatan di peringkat nasional dan antarabangsa untuk meningkatkan kecekapan dalam memantau dan mengekang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang pula akan ditingkatkan.

BACA LAGI: RM100 juta untuk fasiliti keselamatan sempadan Kelantan, Kedah dan Perlis

Dalam mendepani semua usaha itu, undang-undang sedia ada turut akan diperkasa, selain mengimplementasi program kesedaran awam yang menekankan pentingnya keselamatan sosial dan menggalakkan komuniti setempat untuk berperanan aktif.

Pembangunan ekonomi di kawasan sempadan juga digalakkan untuk mengurangkan aktiviti ekonomi haram dan meningkatkan pembabitan masyarakat dalam usaha menjaga keselamatan sempadan.

Related Articles

Back to top button