Sukan

Terima kasih Perdana Menteri – FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman peruntukan RM15 juta untuk pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memperkasakan skuad kebangsaan.

“Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta warga FAM menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Anwar dan kerajaan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

“Sudah tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri dalam memberikan peruntukan tersebut selain beliau sendiri menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya,” katanya dalam kenyataan.

Peruntukan itu diumumkan Anwar pada ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Selasa bagi memastikan skuad negara dapat menjadi gergasi Asia dalam beberapa tahun akan datang.

Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM10 adalah daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan, latihan dan pengurusan pasukan berkenaan.

BACA LAGI: Kerangka baharu sukan bakal disiapkan, tingkat prestasi sukan negara 

Sementara itu Hamidin melalui kenyataan sama memaklumkan, FAM akan mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan mengenai pengurusan skuad negara.

“Ia bertujuan membentangkan struktur organisasi pengurusan pasukan kebangsaan bagi merealisasikan usaha ini dengan satu tujuan iaitu untuk mengangkat pasukan Harimau Malaya menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia,” katanya.

Related Articles

Back to top button