Negeri

Selangor terus usaha bantu PKS teroka pasaran global

Kerajaan Negeri Selangor akan membantu lebih banyak usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka pasaran global

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata usaha itu melalui penganjuran Hari Eksport Selangor yang akan membuka jalan kepada 230 usahawan daripada 147 syarikat untuk memperkukuh jaringan dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

“Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, usahawan perlu lebih proaktif dan berinovasi. Program ini memberi sokongan dan panduan untuk berjaya dalam pasaran luar negara,” katanya dipetik Selangorkini.

Hari Eksport Selangor 2024 adalah anjuran MATRADE bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Program dua hari bermula semalam itu diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bagi memperkukuhkan status negeri itu sebagai negeri penyumbang utama eksport negara selain dikenali sebagai hab terpenting bagi sektor pembuatan merentasi pelbagai industri.

Dalam program tersebut, Najwan telah menyampaikan pengiktirafan kepada beberapa usahawan yang pernah memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan, sembilan usahawan bawah program pembangunan Unit Perancang Ekonomi Negeri akan dibawa ke Nanning, China pertengahan bulan ini bagi membuka reruai dalam ekspo perdagangan.

BACA LAGI: Selangor tingkat ekosistem pendidikan awal melalui kerjasama institusi pendidikan Australia

Sementara itu, Matrade dalam kenyataan berkata Hari Eksport Selangor akan meningkatkan jumlah perdagangan negeri tersebut dan menambah penglibatan syarikat dalam perniagaan eksport.

Ahli Lembaga Pengarah Kanannya Datuk Hazimah Zainuddin berkata unjuran itu berdasarkan nilai dagangan sebanyak RM491.86 bilion daripada jumlah keseluruhan RM1.652 trilion tahun lalu.

Related Articles

Back to top button