Global

Anwar ucap terima kasih kepada Putin atas jemputan ke Sidang Kemuncak BRICS

Perdana Menteri menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin telah membuka ruang perbincangan yang luas dan proaktif.

Bercakap kepada media tempatan di Vladivostok pada Khamis Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka berkongsi komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan bertukar pandangan mengenai peristiwa global.

“Rusia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi bagi pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan memandangkan Malaysia terus memperluaskan ruang geoekonomik dan mempelbagai hubungan strategiknya,” kata Anwar dipetik media.

Sementara itu semasa sidang Penuh Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024) Anwar berkata, penting bagi Malaysia membina hubungan kukuh bersama Russia dan negara Global Selatan lain untuk turut serta dalam pertumbuhan dan menyumbang kepada urutan global lebih seimbang.

Kebangkitan kumpulan negara Global Selatan tegasnya bukan sahaja menggambarkan anjakan dalam kuasa ekonomi sedia ada, tetapi juga merupakan satu konfigurasi, atau penetapan semula pengaruh terhadap dunia.

“Seperti mana Rusia, kami juga melihat potensi dalam ekonomi negara-negara membangun ini, dan kami komited untuk mewujudkan perkongsian yang boleh memacu kemakmuran bersama.

“Atas sebab itu, Malaysia sedang melihat peluang secara aktif dalam kalangan Global South, dan menyertai rakan-rakan yang ingin mewujudkan paradigma pembangunan yang baharu – yang lebih inklusif, berekuiti, mampan dan berdaya tahan,” jelasnya.

Sementara itu Anwar turut berterima kasih kepada Putin kerana mengundang beliau ke Rusia, selain menjemputnya untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, pada 22 hingga 24 Oktober depan.

BACA LAGI: Bertemu Putin, PM Anwar nyata komitmen tingkat kerjasama dengan Rusia

Undangan peribadi Putin itu jelasnya menunjukkan Malaysia antara negara yang diutamakan bagi potensi menganggotai BRICS, sekali gus menandakan langkah besar menuju matlamat akhir negara untuk menyertai organisasi berkenaan.

Sebagai balasan, beliau turut mengundang Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN bagi 10 negara Asia Tenggara yang akan dipengerusikan Malaysia, tahun hadapan.

Related Articles

Back to top button