Parlimen

RUU Keselamatan Dalam Talian dibentang ke Parlimen Oktober ini

Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang akan dibentangkan ke Parlimen pada Oktober ini tidak akan menyekat kebebasan bersuara.

Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa RUU itu akan menidakkan demokrasi dengan memberi kuasa kepada kerajaan bagi menurunkan sebarang maklumat dari platform media sosial.

“Banyak mana sangat (maklumat) yang kerajaan boleh turunkan? Turun di (platform) A, keluar di (platform) B, C dan lain-lain. Bagaimana anda mengawal 30 juta pengguna? Kerajaan tidak boleh turunkan (maklumat), ia mustahil,” katanya.

Beliau sebelumnya hadir ke Majlis Pelancaran Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu Azalina menjelaskan, undang-undang baharu itu digubal bagi mendidik masyarakat mengenai kawalan kendiri termasuk langkah-langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan isu keselamatan dalam talian, sama ada di platform media sosial atau aplikasi dalam talian yang lain.

Tegasnya, perlu ada keseimbangan dalam hak bersuara termasuk tidak melakukan sebarang kesalahan yang tertakluk di bawah undang-undang negara.

“Saya tidak boleh menghalang anda daripada bercakap, tetapi anda mesti bertanggungjawab atas apa yang anda katakan.

“Jika anda menonjolkan diri anda dan ekspresi anda menyebabkan kemudaratan, seperti fitnah atau fitnah bertulis, terdapat banyak undang-undang yang akan membawa anda ke jalan itu,” tegasnya.

Persidangan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan fasa kedua dalam pembentukan RUU berkenaan.

Ia bagi mendapatkan pandangan pakar-pakar dari negara luar yang telah menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian.

BACA LAGI: Kerangka RUU berkaitan CCUS dipandu Jabatan Peguam Negara

“Undang-undang baru ini bukan tentang mengawal selia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ialah pengawal selia.

“Mereka mengawal selia penyedia sistem, mereka tidak boleh mengawal tingkah laku orang. Itu sebabnya kita perlu mengeluarkan undang-undang baharu mengenai keselamatan dalam talian ini

Sementara fasa ketiga melibatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam akan diadakan sebelum RUU itu dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan dibentangkan di Parlimen.

Related Articles

Back to top button