RUU Omnibus dibentang ke Dewan Rakyat akhir tahun ini – Gobind Singh
Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Omnibus ke Dewan Rakyat pada Disember ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, RUU itu akan membenarkan perkongsian data dan penyimpanan awan dalam kalangan agensi kerajaan.
“Perkongsian data adalah perkara penting dan kementerian sedang mengkaji kaedah mengoptimumkan penggunaannya.
“Oleh itu kita perlu membawa masuk undang-undang dan ia sedang dipersiapkan untuk dibentangkan Disember ini,” katanya ketika melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat.
Sementara itu Gobind memaklumkan, kementerian kini sedang mengkaji kaedah bagi membolehkan laporan polis di buat secara dalam talian bagi menangani kekerapan jenayah.
Langkah itu juga seiring dengan perkembangan teknologi, dimana lebih banyak jenayah dalam talian dilaporkan berlaku.
BACA LAGI: Hasil laporan RCI Batu Puteh akan dibawa ke Parlimen
“Oleh itu, kita perlu mula mengubah cara pemikiran mengenai bagaimana kita mendekati keperluan prosedur membabitkan siasatan.
“Antara perkara yang sudah dibincangkan di kementerian saya adalah mengenai sama ada kita boleh membangunkan sistem yang lebih cekap di mana aduan boleh dibuat, penyiasatan dijalankan dan sudah tentu tindakan diambil. Bagaimanapun ini masih di peringkat perbincangan,” katanya.