Semasa

Fahmi sifatkan penyedia media sosial lemah dalam usaha kekang jenayah

Penyedia media sosial disifatkan lemah dalam mengekang jenayah dan hanya bertindak dalam sesuatu isu selepas menerima aduan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, walaupun 21 perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan,  penyedia media sosial dilihat tidak mengambil inisiatif untuk mengkaji dan mengenal pasti trend aktiviti jenayah di platform mereka.

“Sekiranya scam (penipuan) itu telah dikenal pasti trend dan caranya, seharusnya platform-platform ini mengambil ikhtiar lebih menyeluruh. Sebagai contoh menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk kenal pasti semua akaun terlibat (jenayah penipuan) dan membasmi semua akaun ini.

“Mereka sentiasa mengatakan we have products and tools (kami ada produk dan alat untuk mengekang jenayah) tetapi kita tidak pernah melihat tools (alat) yang benar-benar dapat mengekang masalah jenayah scam (Penipuan) sebagai contoh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Karnival Hari-Hari Bola Piala MADANI Lembah Pantai di Universiti Malaya pada Sabtu.

Justeru tegasnya , kerajaan memperkenalkan kerangka kawal selia atau pelesenan media sosial berkuatkuasa tahun depan.

BACA LAGI: Kabinet mahu pelesenan perkhidmatan media sosial diteruskan ikut jadual

Melalui pelesenan itu, kerajaan boleh mengeluarkan arahan serta mengambil tindakan sekiranya sesuatu platform media sosial itu tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Akan ada tindakan kepada mereka termasuk denda, kompaun atau tindakan lain yang sedang dikenal pasti melalui kod tatakelakuan yang sedang dibina bersama dengan pihak platform media sosial juga,” katanya.
 

Related Articles

Back to top button