Semasa

MAPIM gesa tidak jadikan isu penempatan pegawai JAKIM polimik

Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), mengingatkan semua pihak agar tidak mempertikaikan dan mempolimikkan isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid melalui satu kenyataan berkata, kebebasan bersuara tidak harus disalahguna secara sembrono dengan tidak menghormati sensitiviti agama kaum lain.

“Pemimpin tidak sepatutnya mencetuskan prasangka kerana negara ini sudah lama menerapkan Islam dalam pentadbiran dan tidak pernah sekalipun dipersoal.

“Debat mereka seperti sengaja membangkitkan isu agensi agama melaksanakan polisi menerapkan nilai Islam dalam tatakelola pentadbiran negara adalah tidak wajar sama sekali,” katanya.

Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) baru-baru ini membangkitkan isu berkaitan penempatan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan dan kementerian.

Langkah itu dakwa mereka berpotensi mengganggu pengubalan dasar dan menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13.

Susulan itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tampil menegaskan, kenyataan MCCBCHST itu adalah tidak berasas dan dikhuatiri akan mencetuskan salah faham.

Sedangkan matlamat asal penempatan pegawai terbabit adalah untuk membantu sama ada dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian berkaitan dan bukan memberi pandangan berkaitan soal dasar.

BACA LAGI: Tiada penempatan baharu pegawai JAKIM di jabatan kerajaan

Sementara itu Azmi melalui kenyataannya menegaskan, kerangka perlembagaan dan kerukunan hidup antara agama menjadi asas negara ini dibangunkan.

Justeru JAKIM berpendirian semua pihak perlu memelihara keharmonian dalam negara majmuk ini demi memastikan masa depan negara dapat dijamin, aman dan sejahtera.

Related Articles

Back to top button