Isteri Perdana Menteri seru semua pihak lindungi pendidikan Palestin
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menuntut semua pihak mengeluarkan kenyataan bersama membantah ketidakadilan terhadap guru dan pelajar Palestin.
Melalui ucapan di persidangan ‘Hari Antarabangsa Untuk Melindungi Pendidikan Daripada Serangan Kelima’ pada forum kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Doha, Dr Wan Azizah turut mengajak semua pihak mengukuhkan komitmen melindungi pendidikan di Palestin.
“Kita harus mengakui pendidikan adalah asas kepada bantuan kemanusiaan sama seperti rawatan perubatan.
“Sama seperti kita menyembuhkan luka dan memberikan perlindungan kesihatan, kita juga perlu memelihara dan melindungi jiwa dan minda generasi muda.
“Pendidikan bukan satu kemewahan, tetapi ia hak asasi dan menjadi satu nyawa yang sangat bernilai. Kita semua wajar berasa sangat bimbang dengan keadaan pendidikan dan skolastik yang sedang dilalui di Palestin,” katanya.
Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Palestin melaporkan lebih 10,000 pelajar dan lebih 500 guru terbunuh di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki mereka.
“Justeru, atas nama kemanusiaan dan kesucian hidup, pertumpahan darah berterusan ke atas pelajar dan guru serta kemusnahan institusi pendidikan di Palestin adalah tragedi besar yang tidak boleh diabaikan,” tambah beliau.
Forum tersebut dianjurkan Yayasan Education Above All dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dan Pejabat PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana (SRSG) untuk Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata.
Sementara itu beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di Gaza.
BACA LAGI: PM Anwar ulangi kritikan terhadap hipokrit dunia terhadap Palestin
“Kemunculan semula penyakit polio di Gaza, satu kelainan nasib yang kejam di tempat yang sudah begitu rapuh dan terdedah.
“Berpuluh-puluh ribu kanak-kanak di bawah lima tahun tetap menghadapi risiko lumpuh polio, penyakit yang sebelum ini difikirkan sudah berjaya ditangani.
“Gencatan senjata yang dikatakan Israel untuk memudahkan vaksinasi polio satu pembohongan, bertentangan dengan kempen pembunuhan beramai-ramainya,” tambahnya.