MNKT setuju Akta Pembaharuan Semula Bandar digubal
Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-83 yang diadakan pada Selasa telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melalui satu kenyataan berkata, akta tersebut bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.akan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar selain turut menjamin hak pemilik asal.
“Kita sudah ketinggalan beberapa dekad berbanding dengan negara lain dalam isu pembaharuan bandar.
“Kadar perbandaran Malaysia sudah pun mencecah 75 peratus dan ia memberi tekanan terhadap risiko keusangan dan kemerosotan struktur bandar.
“Dengan penggubalan akta ini, kita dapat memastikan pembangunan bandar kita adalah mampan dan selamat untuk didiami,” katanya.
Mesyuarat MNKT semalam dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini, dan turut dihadiri ahli Kabinet, wakil-wakil daripada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri.
Tanpa penggubalan akta berkenaan, kerajaan perlu mendapatkan persetujuan sepenuhnya daripada penduduk jika ingin membangunkan semula sebuah bangunan yang usang dan daif.
Justeru menurut Kor Ming, melalui akta tersebut KPKT bercadang untuk mewujudkan ambang persetujuan 80 peratus kepada bangunan yang berusia kurang dari 30 tahun dan 75 peratus kepada bangunan yang berusia lebih dari 30 tahun.
BACA LAGI: Malaysia komited capai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami serta bangunan yang terbengkalai, KPKT bercadang untuk mewujudkan ambang persetujuan 51 peratus sahaja supaya dapat mempercepat proses pembaharuan bangunan terbabit.
Kor Ming sementara itu turut memberitahu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengenal pasti 139 tapak berpotensi untuk dibangunkan semula dengan jumlah nilai pembangunan kasar RM355.5 bilion.