Kempen Perangi Gula, KPDN mansuh produk bergula dari senarai diskaun Jualan Rahmah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyahut Kempen Perangi Gula susulan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rakyat mengurangkan pengambilan bahan itu supaya lebih sihat.
Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata, sehubungan itu semua produk makanan dan minuman yang mengandungi gula akan dikeluarkan daripada senarai barangan yang diberikan potongan harga dalam Program Jualan Rahmah Madani bermula 1 Oktober ini.
“Kita akan menarik barangan-barang yang mengandungi gula daripada senarai jualan Rahmah.
“Selepas ini barang-barang seperti susu pekat manis tidak lagi ditawarkan diskaun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif “Jom Kosong” di Kuala Lumpur pada Rabu.
Inisiatif #JomKosong merupakan usaha menggalakkan pengguna memilih minuman tanpa gula.
Ia akan membabitkan kerjasama dengan pemain industri makanan dalam negara.
“KPDN akan turut bekerjasama dengan persatuan-persatuan restoran lain seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Sahabat Tom Yam Prihatin Semalaysia dan Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association (MSCSPGA),” katanya.
BACA LAGI: 40 projek bawah PETRA bernilai RM6.0 bilion telah diluluskan di Pahang
Selain itu jelasnya, rundingan menjual minuman kosong tanpa gula pada harga yang lebih murah juga sedang dilakukan bersama operator makanan dan minuman (F&B).
Untuk rekod, Anwar pada Ahad lepas mengingatkan rakyat supaya lebih serius tentang penjagaan kesihatan terutama berkaitan keburukan pengambilan gula berikutan bilangan penghidap kencing manis di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.